Tentang Fasha

Tuesday, April 12, 2005

Soseh-Soseh: Fasha berubah sikap

TIDAK tahu mengapa tiba-tiba pelakon semakin meningkat naik Fasha Sandha dikatakan berubah sikap dan tidak lagi mesra seperti dulu.

Semua ini berlaku sewaktu pelakon jelita itu turut sama menjayakan majlis khas anjuran Rafflesia Pearl Centre pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2004 di Genting Highlands, baru-baru ini.

Teman wartawan sendiri mengadu kepada SS menceritakan mengenai sikap Fasha yang tidak mahu menegur orang, sedangkan mereka yang berada di kelilingnya waktu itu pernah bekerja dengannya sebelum ini.

Pada mulanya teman sekerja SS sendiri mengadu mengenai sikap Fasha itu, walaupun cuba ditegur tetapi dia seperti melarikan diri dan hanya berkepit dengan pereka fesyennya.

Rupa-rupanya kejadian sama turut menimpa beberapa rakan wartawan lain. Kata mereka apabila bertentang mata Fasha buat-buat tidak kenal dan menganggap rakan wartawan lain seperti orang asing.

SS tidak berani hendak membuat sebarang spekulasi mengenai sikapnya tetapi jika itulah yang dikatakan rasanya ia berbeza dengan sikap Fasha sebenar yang periang dan peramah.

Dulu jika tidak disapa dia dengan rendah diri akan datang dulu menegur dan bertanya khabar, walaupun tidak bercerita mengenai hal kerjaya tetapi dia lebih senang berbual mesra seperti seorang kawan.

Entahlah manusia ini kadang-kadang memang susah untuk difahami, bak kata pepatah rambut sama hitam tetapi hati lain-lain atau lebih tepat lagi sekali air bah sekali pantai berubah.

Fasha mungkin ada sebab sendiri mengapa dia mahu bersikap begitu pada hari itu, tetapi bukankah perkara itu tidak manis.

Sebelum ini sewaktu dia menghadapi masalah apabila ditahan pihak berkuasa kerana kes dadah, wartawan yang berada di sekelilingnya juga yang berusaha untuk memulihkan kembali imejnya.

Bukan niat SS hendak mengungkit tetapi bak kata orang, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Fikirkanlah sendiri

Monday, February 21, 2005

Perempuan gatal - Watak idaman Fasha Sandha



Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Sumber; Utusan Malaysia 21 Februari 2005

SALAH seorang pelakon pelapis yang sering mendapat perhatian ramai ialah Nur Fasha Sandha Hassan. Sejak membabitkan diri dalam bidang seni lakon tiga tahun lalu, Fasha jarang dikaitkan dengan cerita-cerita sensasi.

Kekadang peminat ingin juga mengetahui kisah cinta Fasha. Mana mungkin gadis jelita sepertinya tidak ada teman lelaki.

Namun setiap kali soalan tentang teman lelaki dibangkitkan, pelakon yang bakal menyambut hari lahir ke-21 pada 28 Mac ini, bijak mengelak. Dengan lemah lembut dia akan berkata, boleh tak kita bercakap pasal karier sahaja. Mati kutu dibuatnya bila berbicara soal cinta dengan Fasha.

Tapi bagaikan kata pepatah, ada masanya pelanduk juga kekadang terlupakan jerat namun jerat tidak mungkin melupakan pelanduk. Justeru pada satu pertemuan baru-baru ini, pelakon cantik ini secara tidak langsung mengakui dia sudah pun ada teman lelaki.

Heboh cerita, sudah ada seseorang di hati Fasha.

Fasha: (Tersenyum) Iyake? Bukan artis. Memang dia dalam bidang ini juga tapi di belakang tabir.

Pandai simpan rahsia.

Fasha: Baru tiga tahun. Saya anggap hubungan kami masih di peringkat mengenali hati budi walau sudah diketahui keluarga.

Tiga tahun mengenali, masih belum tahu hati budi?

Fasha: Masih terlalu awal untuk saya menjadi seorang isteri dan ibu. Saya baru nak masuk 21 tahun bulan depan. Banyak perkara yang perlu saya lakukan untuk masa depan. Entahlah mungkin saya akan kahwin sebelum usia 38 tahun. Apa pun sekarang ini saya belum terfikir soal kahwin.

Jadi apa perancangan Fasha?

Fasha: Kalau ada peluang saya nak sambung belajar dalam bidang penyiaran. Sudah lama saya idam untuk buat kursus ini. Tapi bila tiba waktu untuk mendaftar saya dapat projek berlakon yang bagus. Apa pun saya tetap berazam akan sambung belajar satu hari nanti sebab saya nak jadi seorang artis yang berilmu.

Bagaimana kehidupan seorang gadis seperti Fasha yang berjauhan dengan keluarga?

Fasha: Saya tidak pernah mengambil kesempatan di atas jarak kami yang jauh itu. Setiap pagi saya mesti telefon atau hantar SMS, memberitahu ibu aktiviti saya hari itu. Tidak lama lagi usia saya akan meningkat. Menjadi 21 tahun dan saya harap saya akan menjadi wanita yang lebih matang. Saya ingin perbaiki kelemahan diri dan selagi saya masih belum bersuami, keluarga adalah tempat saya mengadu.

Apa azam Fasha sebagai pelakon?

Fasha: Saya mempunyai sasaran sendiri bila menceburi bidang lakonan ini. Sekarang ini saya perlu bekerja keras untuk mengumpul wang bagi membeli rumah untuk keluarga sama ada di kawasan Ampang atau Damansara. Insya-Allah kalau ada rezeki mungkin pertengahan tahun ini dapatlah saya miliki rumah sendiri hasil kerja berlakon selama ini.

Aktiviti terbaru?

Fasha: Saya akan menjalani penggambaran filem Gong terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd., selama sebulan di Jogjakarta, Indonesia. Saya akan berada di sana bersama Jehan, Faizal, Sharifah Sofia dan Elyana. Gong adalah filem seram arahan Sandosh Kesavan.

Fasha sering diberi watak utama dalam filem, tidakkah ia memberi tekanan pada Fasha yang masih baru dalam bidang lakonan?

Fasha: Nak kata tekanan, semua kerja ada tekanan. Tapi kalau tidak cuba, macam mana saya tahu bakat sendiri. Setakat ini saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan pengarah untuk membawa watak utama. Tapi saya perlu bekerja keras membuktikan bahawa saya mampu memikul tanggungjawab yang diberi.

Watak yang ingin Fasha lakonkan?

Fasha: Watak perempuan gatal. Bagi saya kalau dapat bawa watak yang bertentangan dengan peribadi, itu adalah cabaran. Sehingga kini saya masih lagi menanti watak sebegitu. Namun saya gembira kerana kebanyakan filem atau drama memberi peluang untuk saya mencuba pelbagai watak.
Fasha Sandha bawa diri ke seberang



Oleh: JAMLIAH ABDULLAH

Sumber; Utusan Malaysia 13 Februari 2005

SIAPA kata mudah bergelar artis? Klise benar untuk mengatakan bahawa wajah cantik atau perwatakan menarik jadi sandaran terbaik dalam dunia hiburan yang sangat kompetitif ini.

Jika benar masakan kita tonton banyak artis baru yang datang dan pergi begitu saja. Ada yang hilang tanpa meninggalkan nama, hilang seperti musim silih berganti.

Artis muda, Fasha Sandha barangkali bertuah kerana jika dilihat nasibnya berbanding dengan rakan seangkatan yang lain, dia masih mampu bertahan.

Begitu juga, walaupun jangka masa dua tahun itu masih terlalu awal untuk memberi tafsiran kepada eksistensi Fasha, namun ia tetap sesuatu yang membanggakan.

Barangkali ada formula dan strateginya. Kata Fasha, dia melihat dunia lakonan yang diceburi itu sebagai satu kerjaya untuk mencari rezeki.

``Saya percaya semuanya bermula daripada niat kita sendiri. Saya bermula dari bawah dan belajar dari bawah. Alhamdulillah, saya masih bertahan kerana rezeki sentiasa ada,'' kata Fasha.

Sehingga kini Fasha sudah membintangi lebih enam buah filem termasuk Berlari Ke Langit, SHH3, Anak Mami Kembali dan Gong.

Dua daripada filem tersebut iaitu Anak Mami Kembali dan Gong masih dalam pembikinan. Ia adalah pertaruhan Fasha untuk tahun ini.

Dia juga muncul dalam lebih 10 buah drama televisyen seperti Dengan Nama Cinta, Quran Buruk dan Anak-anak Ramadan di samping Tin Gei Bin serta Usia yang akan ke udara menjelang April nanti.

``Saya bersyukur kerana walaupun masih baru, ada pengarah yang sudi memberikan kepercayaan untuk saya berlakon dalam filem mereka,'' katanya yang akan berangkat ke Jogjakarta, Indonesia tidak lama lagi.

Ramai yang barangkali tertanya-tanya, kenapa Fasha membawa diri ke Jogjakarta dan menetap di situ selama lebih sebulan mulai 16 Februari ini.

Merajukkah atau mencuba nasib di negeri seberang pula? Di Indonesia, Fasha tentu bukan asing lagi kerana dia pernah muncul dalam beberapa buah iklan di kaca televisyen dan papan iklan.

Bukan begitu halnya, artis tersebut ke Indonesia untuk menjalani penggambaran filem terbarunya, Gong terbitan Grand Briliance.

Fasha bersama krew filem Gong serta empat pelakon lain iaitu Jehan Miskin, Sharifah Sofia, Elyana dan Faisal Yusuf akan berkampung di sebuah perkampungan kecil dekat Jogjakarta nanti.

``Gong adalah sebuah filem thriller terbaru arahan Mr. Sandosh yang mengisahkan tentang sekumpulan pelajar dari Malaysia melawat Jogjakarta dan cuba mempelajari sejarah tempat itu.

``Mereka kemudian berhadapan dengan insiden mistik apabila salah seorang daripada mereka melanggar pantang larang di situ. Ia sebuah filem thriller dan seram. Saya gembira kerana terbabit dalam projek terbaru ini,'' cerita Fasha yang berlakon sebagai Mira.

Kata Fasha, hampir keseluruhan penggambaran filem tersebut diadakan di Indonesia.

Menurut Fasha, dia juga menyukai karakter Mira dalam filem tersebut kerana ia menyamai karakternya sendiri.

``Selain itu saya gembira kerana Gong berbeza daripada filem saya yang terdahulu dan ini masanya untuk membuktikan bakat saya,'' jelasnya yang enggan digelar pelakon stereotaip.

Bukan itu saja untuk Gong yang ditulis oleh Gibran Agi itu, Fasha meletak sepenuh harapan untuk menyerlah.

``Pada masa ini saya bersama pelakon yang lain sibuk berlatih skrip dan saya sudah mula menjiwai watak Mira itu dengan baik,'' tambahnya yang akan menyambut ulang tahun ke-21 pada 28 Mac nanti.

Sebelum itu, Fasha juga akan muncul dalam filem komedi Anak Mami Kembali iaitu filem terbaru arahan Razak Mohaideen di samping Saiful Apek dan Azean Irdawaty.

Soal berlakon, Fasha mengakui dia serius dan ingin bekerja keras untuk membentuk kerjaya seninya itu dengan baik.

Atas alasan itu, kata Fasha, dia sanggup melupakan kegembiraan zaman remajanya dulu hingga sekarang.

``Sejak berusia 16 tahun lagi saya sudah mula bekerja dan mencari wang sendiri. Saya gembira kerana sejak itu saya tidak bergantung pada keluarga lagi.

``Namun saya mempertaruhkan zaman remaja saya sepenuhnya tetapi saya tidak menyesal. Mungkin hidup saya berbeza dengan remaja lain yang mempunyai banyak masa bersuka ria sebaliknya saya sudah bekerja pada usia muda tetapi saya puas hati,'' katanya yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Begitu juga, menjelang usia 21 iaitu pada ketika ramai yang menganggap usia mendapatkan kunci kebebasan sepenuhnya, Fasha memberikan pendapat yang berbeza.

``Kebebasan untuk saya adalah bebas untuk memilih hidup yang saya inginkan dan menjayakannya. Itu sudah lama saya kecapi.

``Tetapi pada usia 21 tahun ini saya percaya saya semakin matang dan lebih berkeyakinan,'' jelas Fasha yang berazam untuk terus membuktikan bakatnya dalam bidang lakonan.

Menurut Fasha, ramai yang sering tersalah tafsir dengan riak mukanya yang sering serius dan menyangka dia seorang yang sombong serta pendiam.

``Hakikatnya saya seorang yang periang, peramah dan suka bercakap. Kalau bercakap susah untuk berhenti.

``Ada yang selalunya takut untuk mendekati saya kerana pada sangkaan mereka saya sombong. Mungkin kalau mereka sudah mendekati akan memahami fiil saya itu,'' kata Fasha.

Begitu juga di sebalik rutin sehariannya yang sentiasa sibuk di lokasi, Fasha tetap mempunyai kegemaran tersendiri.

Sebagai seorang yang suka duduk di rumah daripada berpeleseran di luar, Fasha juga mempunyai binatang peliharaan yang sangat disayanginya.

Bukan kucing tetapi seekor ikan flower horn yang dibelinya setahun setengah yang lepas.

``Masa itu, memelihara ikan flower horn adalah kegilaan ramai, jadi saya pun beli sekadar suka-suka. Tetapi kini ikan yang saya panggil Fish Fish ini `teman' saya di rumah.

``Dialah penghibur dan yang sentiasa menenangkan perasaan sewaktu saya kesusahan. Suka tengok dia berenang-renang dalam akuarium itu dan kadang-kadang bila tension Fish Fish jadi pendengar saya yang setia. Lucu,'' katanya sambil ketawa.

Sepanjang ketiadaannya di rumah setelah ke Jakarta selama lebih sebulan kelak, kata Fasha, dia pasti akan merindui Fish Fish.

``Nampaknya nanti terpaksalah saya serahkan buat sementara waktu kepada kakak dan abang saya untuk menjaga Fish Fish,'' kata Fasha yang mengakui ikannya itu semakin membesar dan cantik.

Di samping itu, ramai yang barangkali tertanya-tanya apa rahsia kecantikan Fasha terutama bentuk badannya yang sering kelihatan ramping dan cantik.

Fasha mengakui bahawa dia tidak mempunyai masa untuk bersenam di gimnasium atau berjoging. Tetapi itu tidak bererti, Fasha mengamalkan diet yang ketat atau menggunakan apa-apa rawatan menguruskan badan.

Sungguh, kata Fasha, dia tidak bersenam atau makan apa-apa pil menguruskan badannya kerana tidak mempunyai banyak masa untuk itu.

``Cuma satu cara yang saya amalkan setiap hari adalah bersenam dengan naik turun tangga. Sekarang saya tinggal di pangsapuri di tingkat 12.

``Setiap kali saya pasti menggunakan anak tangga sekurang-kurangnya dari tingkat enam untuk naik dan turun dari rumah saya. Itu saja cara terbaik kerana saya sibuk sangat, `' ceritanya.

Tentang rawatan rambut, kata Fasha, dia mengamalkan petua tradisi daripada orang lama iaitu santan basi.

``Saya juga mengalami masalah rambut panjang yang biasa iaitu mudah putus dan terbelah pada hujungnya. Tetapi amalan menggunakan santan basi sebanyak dua kali seminggu itu banyak membantu,'' tambahnya.

Untuk wajah, kata Fasha, dia cuma mengamalkan rejim penjagaan yang biasa tetapi dengan teratur untuk menjaga penampilannya.